‘Kenapa PH Melatah?’ – PAS Persoal Reaksi Terhadap Dakwaan Campur Tangan AS

KUALA LUMPUR: “Kenapa tiba-tiba melatah?” Demikian persoalan PAS terhadap tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat begitu responsif terhadap dakwaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menukar kerajaan Malaysia sebelum 2018.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata perkara itu menjadi tanda tanya kerana dakwaan yang dibangkitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak ditujukan kepada mana-mana pemimpin atau parti dalam PH.

Beliau berkata, penafian yang dibuat Kedutaan AS di Kuala Lumpur juga tidak menghalang mana-mana pihak yang berasa terjejas daripada mengambil tindakan menerusi saluran undang-undang.

“Kalau Kedutaan AS menafikan dakwaan tersebut, ada ruang untuk menyelesaikan perkara ini melalui undang-undang, termasuk tindakan saman sivil.

“Tetapi yang menjadi persoalan, mengapa PH pula yang begitu terkesan sehingga membuat laporan polis?

“Abdul Hadi tidak pernah menyebut PH atau mengaitkan mana-mana pihak dalam gabungan itu. Jadi, apa sebab mereka begitu mengambil berat mengenai isu ini?” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli malah membangkitkan persoalan sama ada reaksi berlebihan PH itu mempunyai kaitan tertentu dengan perkara yang didakwa berlaku.

“Adakah mereka sebenarnya mempunyai kaitan?” katanya.

Isu itu tercetus selepas Abdul Hadi mendakwa pernah menerima pertanyaan daripada wakil Kedutaan AS mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan PAS dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

Dakwaan itu dikaitkan dengan tempoh PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat, ketika Obama melakukan lawatan ke Malaysia.

Abdul Hadi turut mendakwa pertemuan berkenaan berlaku selepas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan terlebih dahulu bertemu dengan duta AS.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut terdapat perbincangan mengenai kemungkinan berlaku perubahan kerajaan, termasuk dakwaan AS bersedia memberikan bantuan.

Bagaimanapun, Kedutaan AS menolak dakwaan berhubung usaha campur tangan dalam menentukan kepemimpinan politik Malaysia dan menyifatkannya sebagai tidak benar.

Dalam pada itu, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, sebelum ini mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti berhubung dakwaan AS pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.

Lim menyifatkan dakwaan berkenaan serius dan meminta polis menyiasat perkara itu, termasuk mengambil keterangan Abdul Hadi, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin.

Beliau turut meminta identiti wakil AS yang didakwa membuat tawaran tersebut dikenal pasti bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles