Isu Peruntukan KKDW-MoF Tidak Jejas Kerjasama PH-BN

LUMUT: Perbezaan pandangan berhubung pengurusan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) tidak menjejaskan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim.

Menurut Kamil, perbezaan pendekatan dalam sesuatu perkara adalah perkara biasa dalam kerjasama antara parti politik, malah keadaan sama pernah berlaku ketika menghadapi beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

Beliau berkata, PH dan BN tetap mampu bekerjasama meskipun mempunyai pendekatan berbeza dalam isu tertentu, termasuk ketika menghadapi pilihan raya di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Tidak berbangkit soal terjejas. Dalam pilihan raya, bukan PRN Melaka saja, di Johor dan Negeri Sembilan pun kita memang mengambil jalur yang berbeza.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah menyarankan supaya isu antara KKDW dan MoF diselaraskan secara harmoni melalui perbincangan dalaman antara kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan satu majlis anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Perak, semalam.

Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, perbincangan di peringkat MoF akan meneliti semula keperluan peruntukan, selain memastikan projek pembangunan masyarakat luar bandar yang mempunyai impak tinggi diberikan keutamaan.

Isu berhubung peruntukan KKDW sebelum ini mencetuskan perhatian selepas wujud kenyataan berbeza antara pemimpin kedua-dua gabungan politik itu mengenai pembiayaan projek pembangunan luar bandar.

Perkembangan berkenaan turut menimbulkan spekulasi mengenai hubungan PH-BN, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kontroversi itu tercetus susulan kenyataan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kelewatan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kementeriannya.

Zahid sebelum ini memaklumkan masalah berkenaan memberi kesan kepada kontraktor terbabit dan menegaskan keperluan supaya isu pembayaran diselesaikan bagi mengelakkan tunggakan berlarutan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, pada 2 September lalu menjelaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar.

Beliau turut memaklumkan keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan telah disalurkan, manakala kekangan pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir sepenuhnya telah dibelanjakan.

Dalam perkembangan berkaitan percukaian, Kamil menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, supaya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai pandangan peribadi yang dibuat berdasarkan hujah serta analisis beliau sendiri.

Katanya, kerajaan ketika ini masih berpegang kepada dasar meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, beliau berkata dasar kerajaan sentiasa boleh dinilai semula mengikut keadaan dan keperluan semasa.

“Dasar itu boleh berubah mengikut keadaan dan juga waktu, tetapi buat masa hari ini, setakat ini, pendekatan dan keputusan kerajaan ialah untuk terus dengan dasar sedia ada,” katanya.

Dua hari lalu, Lim mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan GST sekiranya kajian menunjukkan sistem percukaian berkenaan lebih berkesan berbanding SST, dengan pelaksanaannya dibuat secara sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles