Guru Didakwa Cabul Murid 12 Tahun Ditahan Polis Selepas Kes Tular

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes cabul membabitkan seorang murid perempuan di Seri Alam yang tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook yang mendakwa kejadian itu berlaku pada September tahun lalu melibatkan seorang guru lelaki berusia lingkungan 20-an dan murid perempuan berusia 12 tahun.

Menurut beliau, kes berkenaan dipercayai terbongkar selepas murid terbabit didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap murid lain sebelum siasatan dalaman sekolah dijalankan.

“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu mengaku pernah melakukan hubungan seksual dengan guru terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Susulan pendedahan tersebut, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun kira-kira jam 9 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bertindak menahan suspek sekitar jam 10.30 malam.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak secara seksual.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles