428 Aktivis GSF 2.0 Dibebaskan, 29 Rakyat Malaysia Dijangka Tiba Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Kesemua 428 aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang sebelum ini ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa, termasuk 29 rakyat Malaysia, disahkan telah dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menerima makluman daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah mengatur tiga penerbangan khas Turkish Airlines bagi membawa pulang semua aktivis terbabit dari Lapangan Terbang Ramon di wilayah haram Israel.

Menurut beliau, semua aktivis kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke lapangan terbang berkenaan sebelum diterbangkan ke Istanbul menerusi tiga pesawat khas dengan kod penerbangan TK6919, TK6921 dan TK6925.

“Ketiga-tiga penerbangan dijangka berlepas sekitar jam 8 malam waktu Malaysia dan tiba di Istanbul kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia. Mereka akan disambut wakil Kedutaan Malaysia, Wisma Putra serta pihak Kerajaan Turkiye,” katanya dalam sidang media perkembangan misi GSF 2.0 hari ini.

Sani Araby turut memaklumkan delegasi Malaysia akan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Turkiye susulan dakwaan terdapat tahanan yang dipukul dan mengalami kecederaan sepanjang ditahan.

Beliau berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu dijangka berlepas pulang ke negara ini pada 23 Mei sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehari selepas itu.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Anwar selain Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas usaha diplomatik yang membantu memastikan pembebasan semua rakyat Malaysia terbabit berjalan lancar dan selamat.

Menurutnya, insiden penahanan aktivis kemanusiaan itu turut mencetuskan kecaman meluas masyarakat antarabangsa, termasuk daripada beberapa negara Eropah, Asia dan organisasi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, tekanan antarabangsa dalam bentuk desakan diplomatik, ancaman sekatan ekonomi dan tindakan undang-undang dipercayai menjadi faktor utama yang memaksa rejim Israel membebaskan semua tahanan tanpa syarat, walaupun pada awalnya dilaporkan bercadang menahan mereka lebih lama di Penjara Ketziot.

Semalam, SNCC mengesahkan sebanyak 50 kapal flotila GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis daripada 40 negara telah dipintas tentera laut Israel ketika dalam misi kemanusiaan menuju ke Gaza di perairan antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles