KUALA LUMPUR: Polis Selangor mengesahkan setakat ini tiada elemen jenayah ditemui dalam kes kematian seorang pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah apartmen di Vista Alam, Seksyen 14, pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemalangan dan bukannya melibatkan perlakuan jenayah.
Menurut beliau, kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut namun buat masa ini diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR).
“Setakat ini kita percaya kejadian tersebut bersifat kemalangan dan tidak mempunyai unsur jenayah,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor hari ini.
Beliau turut memaklumkan proses bedah siasat telah selesai dijalankan semalam sebelum jenazah selamat dikebumikan pada malam tadi di kampung halamannya di Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, Shazeli turut mengulas mengenai pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial susulan insiden berkenaan.
Katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya terdapat unsur fitnah terhadap arwah atau ahli keluarganya.
Beliau menjelaskan bahawa kenyataan rasmi polis hanya tertumpu kepada fakta siasatan semasa dan bukan berdasarkan dakwaan atau komen tidak sahih yang tular di media sosial.
“Jika spekulasi yang disebarkan itu tidak benar dan mengandungi unsur fitnah, laporan polis boleh dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis dari JSJ IPK Selangor ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Vista Alam, Shah Alam pada Rabu.










