AMK Desak Siasatan Dakwaan Penyaluran Dana Asing Kepada Gerakan Politik

KUALA LUMPUR, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia memandang serius dakwaan berhubung penyaluran dana asing kepada ahli politik, individu dan pertubuhan tertentu yang didakwa digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.

Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu tidak lagi boleh dianggap sebagai polemik politik biasa kerana ia melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan politik serta kestabilan institusi demokrasi negara.

Beliau berkata, mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahgunakan pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi.

Menurut kenyataan itu, laporan yang beredar mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan The Tides Foundation kepada sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd., melalui tiga transaksi dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.5 juta.

Dakwaan itu melibatkan transaksi bertarikh 27 November 2024 berjumlah RM233,322.20, 12 Mac 2025 sebanyak RM658,555 dan 6 Jun 2025 sebanyak RM628,270.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa sepanjang 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat kepada Amir Hariri Abdul Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI. Dana berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan.

AMK berkata sekiranya dakwaan tersebut benar, Malaysia tidak boleh dijadikan medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mahu mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan kerana ia berpotensi menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Sehubungan itu, AMK mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan menjalankan siasatan terperinci, bebas dan menyeluruh terhadap semua pihak yang dikaitkan dalam pendedahan tersebut tanpa mengira latar belakang politik atau kedudukan mereka.

Menurut kenyataan itu, sebarang pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, AMLA dan Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara, pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik yang menyalahi undang-undang.

AMK turut menegaskan bahawa negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi global semasa, dan sebarang usaha menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing perlu dihentikan segera.

BBerkaitan

Latest articles