SUNGAI BESAR: UMNO Bahagian Sungai Besar menggesa kepimpinan parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya dakwaan pengiktirafan rasmi terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh kerajaan adalah benar.
Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, langkah berkenaan dilihat bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan selain tidak seiring dengan perjuangan UMNO yang sejak sekian lama menolak pengiktirafan UEC.
Menurut beliau, jika kerajaan benar-benar mengiktiraf UEC secara rasmi, UMNO tidak lagi mempunyai alasan untuk terus berada dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika benar UEC diiktiraf, saya menggesa UMNO keluar daripada kerajaan Madani kerana keputusan itu jelas bertentangan dengan dasar pendidikan negara serta perjuangan parti,” katanya memetim laporan MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan bahawa lepasan sekolah tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC kini mempunyai peluang mengikuti program tertentu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju membuka laluan khas kepada pelajar daripada sistem pendidikan di luar arus perdana kebangsaan untuk memasuki IPTA.
Mengulas lanjut, Jamal mendakwa sekiranya pengiktirafan UEC benar-benar berlaku, ia dianggap sebagai kemenangan besar buat DAP yang menurutnya sekian lama memperjuangkan agenda tersebut.
Beliau turut mendesak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tampil memberi penjelasan terperinci bagi meredakan kekeliruan rakyat berhubung isu berkenaan.
Katanya, kegagalan kerajaan menjelaskan perkara itu secara jelas hanya akan menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Madani telah mengiktiraf UEC sepenuhnya, sekali gus membuka ruang kepada manipulasi politik.
“Rakyat kini melihat seolah-olah UEC yang sebelum ini ditentang kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diterima kerajaan secara rasmi.
“Hakikatnya, apa yang difahami ialah KPT hanya membuka laluan kemasukan ke IPTA kepada pemegang UEC dengan syarat tertentu,” katanya.
Tambah beliau, antara syarat yang dikenakan termasuk kewajipan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia serta mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau berkata, laluan itu juga hanya melibatkan kursus-kursus tertentu dan bukannya pengiktirafan menyeluruh terhadap UEC seperti yang didakwa sesetengah pihak.










