KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pengampunan melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, meskipun terdapat laporan mendakwa beliau memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak melihat perkara itu sebagai isu kerana proses perundangan terhadap individu terbabit masih berjalan.
“Tiada isu, kita tidak akan mempertimbangkannya,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas sama ada Malaysia akan mengemukakan bantahan rasmi sekiranya AS mengambil tindakan berkaitan permohonan tersebut, Anwar berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa negara berkenaan.
“Bagi pihak kita, kita tidak akan mengambil pendekatan itu … namun sudah tentu apa jua keputusan AS adalah urusan mereka sendiri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tidak menerima sebarang makluman rasmi berhubung dakwaan bahawa Jho Low telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada pentadbiran AS.
“Kita sudah jelaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa perkara itu bukan isu. Walaupun dia ada membuat permohonan, ia bukan sesuatu yang perlu kita bincangkan kerana dia masih melalui proses mahkamah,” katanya lagi.
Dua hari lalu, media antarabangsa melaporkan Jho Low, yang didakwa menjadi dalang skandal kewangan terbesar melibatkan 1MDB, dipercayai telah memfailkan permohonan pengampunan kepada Trump beberapa minggu lalu.
Menurut laporan tersebut, sekiranya permohonan itu diluluskan, pertuduhan jenayah terhadap Jho Low di AS berpotensi digugurkan.
Laporan sama turut mendakwa laman sesawang Jabatan Kehakiman AS kini menyenaraikan permohonan atas nama Taek Jho Low dengan status “pending” di bawah kategori “Pardon after Completion of Sentence”.
Jho Low didakwa pada tahun 2018 atas tuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) daripada dana 1MDB, namun sehingga kini keberadaannya masih belum dapat dikesan dan beliau kekal sebagai buruan pihak berkuasa antarabangsa.










