Pegawai, Anggota Polis IPD Ipoh Digantung Tugas Susulan Penemuan Dadah, Telefon Dalam Lokap

IPOH: Pegawai dan anggota polis yang bertugas di lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berdepan tindakan gantung tugas selepas pemeriksaan mengejut menemukan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sel tahanan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan segera sudah diarahkan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas termasuk penggantungan tugas pegawai dan anggota terlibat akan dilaksanakan, selain siasatan turut membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta beberapa jabatan lain bagi mengenal pasti punca kelemahan keselamatan berlaku.

“Semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah turut diarahkan melakukan pemeriksaan berkala di setiap lokap bagi memastikan tahap kawalan keselamatan dan pemantauan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media Ops Teguh 2.0 di Ipoh, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, situasi keseluruhan lokap di seluruh negara masih berada dalam keadaan terkawal, namun mengakui terdapat kelompongan dalam kes terbaru itu sehingga membolehkan bahan terlarang dibawa masuk ke dalam sel tahanan.

Terdahulu, pemeriksaan mengejut dilakukan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan mengejut di Balai Polis Sentral IPD Ipoh apabila sebuah sel yang menempatkan empat Orang Kena Tahan (OKT) lelaki didapati menyimpan pelbagai barangan terlarang.

Antara yang ditemui termasuk beberapa paket dipercayai dadah, telefon bimbit dan senjata tajam.

BBerkaitan

Latest articles