Jangan Tebuk Dasar Pendidikan Negara, Semua Pelajar Ke IPTA Wajib Ambil SPM

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak wajar dilonggarkan dengan memberi pengecualian kepada mana-mana aliran pendidikan termasuk UEC dan tahfiz.

Menurut beliau, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu kekal sebagai syarat asas dan standard utama bagi semua pelajar yang mahu menyambung pengajian ke IPTA, selaras dengan dasar pendidikan negara yang telah diguna pakai sejak sekian lama.

Dalam hantaran ringkas di Facebook hari ini, Akmal menekankan bahawa tiada alasan untuk mana-mana pelajar mengelak daripada menduduki peperiksaan SPM jika benar-benar mahu melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

“Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz, nak masuk IPTA wajib SPM,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keperluan membuka lebih banyak ruang pengecualian sedangkan sebelum ini ramai lepasan UEC dan tahfiz sudah mengambil SPM tanpa sebarang masalah demi memenuhi syarat kemasukan ke IPTA.

Katanya, langkah melonggarkan syarat sedia ada hanya akan membuka ruang kepada perubahan dasar secara berlebihan sehingga boleh menjejaskan sistem pendidikan negara.

“Tidak perlu kita buka lebih banyak ‘flood gate’. Dasar pendidikan negara perlu kita ikuti, bukan ditebuk sana sini,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles