KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa Kabinet telah meluluskan laluan kemasukan baharu bagi graduan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
Beliau berkata semua pelajar, tanpa mengira aliran persekolahan, mesti memenuhi syarat asas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Keputusan Kabinet mengenai SMPC/UEC dibuat dengan syarat pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM. Jadi, kita beri ruang kepada mereka, walaupun mungkin dimulakan dengan beberapa kursus dahulu kerana sebelum ini perkara ini tidak dipersetujui.
Sekarang, apabila sekolah Cina diterima, kita juga menerimanya secara positif.
“Ini bukan sahaja terpakai kepada pelajar SMPC/UEC, tetapi juga kepada pelajar sekolah Arab, sekolah menengah agama, institusi tahfiz dan lain-lain. Syarat yang sama dikenakan, termasuk kepada pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa.
Cuma masih ada beberapa perincian yang sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026, hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata kerajaan telah bersetuju dengan beberapa keputusan berkaitan laluan kemasukan bagi pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.
Menurut kenyataan itu, ia akan berdasarkan pengiraan merit mengikut pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta tertakluk kepada syarat am dan khusus program yang ditetapkan universiti melalui proses pemilihan berasaskan merit.— BERNAMA










