Laluan Khas IPTA Bukan Pengiktirafan Penuh UEC, BM, Sejarah Kekal Syarat Wajib Kemasukan Lepasan UEC ke IPTA

KUALA LUMPUR, – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan laluan kemasukan khas bagi pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bukan merupakan pengiktirafan penuh terhadap Unified Examination Certificate (UEC), sebaliknya hanya melibatkan laluan khas bagi program tertentu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman berkata pelaksanaan itu bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi secara lebih inklusif tanpa menjejaskan dasar pendidikan kebangsaan serta standard kualiti institusi pengajian tinggi negara.

Beliau berkata syarat asas melibatkan kepujian Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah mengikut silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia kekal menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.

“Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan asas kenegaraan dan tiada kompromi kepada kedua-dua subjek tersebut,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Menurut beliau, laluan khas itu melibatkan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan seperti sekolah tahfiz, aliran agama dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sejarah mengikut silibus SPM.

Azlinda berkata bagi lepasan SMPC atau UEC, program yang dikenal pasti setakat ini melibatkan bidang bahasa dan linguistik Cina termasuk Sarjana Muda Pengajian Bahasa Cina, Linguistik Cina dan Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Beliau berkata bagi lepasan tahfiz dan aliran agama pula, program yang ditawarkan termasuk Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Al-Quran dan Al-Sunnah, Pendidikan Tahfiz serta Pengajian Islam.

“Ini adalah ruang dan peluang untuk kita buka laluan, bukan pengiktirafan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pelajar yang memiliki sijil SPM penuh bersama UEC boleh terus memohon ke semua program IPTA melalui sistem UPUOnline seperti biasa berdasarkan merit keputusan SPM masing-masing.

Katanya, penilaian merit bagi kemasukan ke program kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan tetap berpandukan keputusan SPM dan bukannya UEC.

“Tidak ada diskriminasi, tidak ada bias. Mereka memohon dalam UPUOnline berdasarkan keputusan merit SPM mereka,” katanya.

Azlinda berkata permohonan bagi laluan khas itu akan dibuka secara terus kepada universiti bermula 30 Jun ini memandangkan proses UPUOnline bagi sesi kemasukan semasa telah pun berjalan sejak akhir tahun lepas.

Beliau berkata setakat ini tiga universiti awam dikenal pasti terlibat dalam tawaran program berkenaan iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Menurutnya, semua pemilihan pelajar tetap tertakluk kepada syarat am, syarat khas program, proses temuduga serta keputusan senat universiti masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar yang diterima melalui laluan berkenaan turut menikmati subsidi pendidikan kerajaan serta boleh memohon bantuan kewangan seperti pelajar IPTA lain.

KPT turut berharap laluan itu dapat menggalakkan lebih ramai pelajar luar sistem pendidikan kebangsaan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

BBerkaitan

Latest articles