Rafizi Didakwa Intai Kerjasama Dengan MUDA, Johor Jadi Medan Ujian Politik?

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai hala tuju politik baharu Datuk Seri Rafizi Ramli semakin hangat apabila bekas Timbalan Presiden PKR itu dikatakan sedang berbincang dengan parti MUDA mengenai kemungkinan kerjasama strategik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut sumber yang rapat dengan perbincangan tersebut, usaha awal dikatakan digerakkan oleh Timbalan Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin, yang difahamkan menawarkan kerjasama kepada Ahli Parlimen Pandan itu sejak bulan lalu.

Malah, Johor disebut-sebut sebagai lokasi awal untuk menguji kekuatan gabungan berkenaan susulan sasaran MUDA untuk bertanding di antara lima hingga 10 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Sumber itu turut mendakwa hubungan antara kedua-dua pihak masih di peringkat tidak rasmi, namun beberapa bentuk kerjasama sudah mula dibincangkan termasuk kemungkinan Rafizi bertanding menggunakan tiket MUDA atau memainkan peranan sebagai penasihat strategi politik parti tersebut.

Cakap-cakap mengenai penyatuan Rafizi dan MUDA bertambah kuat selepas Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, memuat naik gambar bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, di media sosial baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, Rafizi memaklumkan beliau dan Nik Nazmi sedang meneliti pelbagai pandangan serta faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.

Kenyataan itu hadir selepas kedua-duanya melepaskan jawatan dalam Kabinet pada Mei tahun lalu, masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli serta Kelestarian Alam.

Pengunduran mereka berlaku susulan keputusan pemilihan PKR 2025 yang menyaksikan Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden.

Sumber sama turut berpandangan bahawa kerjasama antara MUDA dan Rafizi bukan sesuatu yang mustahil memandangkan kedua-dua pihak pernah berganding dalam beberapa gerakan sebelum ini, termasuk himpunan berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

BBerkaitan

Latest articles