PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman menzahirkan iltizam untuk memperhebat usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi memastikan integriti negara terus terpelihara.
Dalam amanat pertamanya kepada warga SPRM, beliau menyifatkan tanggungjawab menerajui suruhanjaya itu sebagai amanah besar yang perlu digalas dengan penuh kejujuran serta komitmen tinggi.
Menurut beliau, setiap pegawai SPRM bukan sekadar melaksanakan tugas, sebaliknya memikul janji dan tanggungjawab untuk mempertahankan integriti institusi berkenaan.
“Pelbagai cabaran pasti akan dihadapi sepanjang melaksanakan tugas, namun semuanya perlu ditangani secara profesional berpandukan undang-undang serta prosedur yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengarah Kanan dan Pengarah Bahagian SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Terdahulu, Abd Halim tiba di ibu pejabat suruhanjaya kira-kira pukul 8.20 pagi dan disambut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Indera Junipah Wandi bersama barisan pengarah kanan serta pegawai kanan SPRM.
Beliau kemudian melengkapkan simbolik memulakan tugas dengan mengimbas kad pas dan merekod cap tangan pada tablet digital sempena majlis rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa hari ini.
Dalam pada itu, Abd Halim turut mengingatkan seluruh pegawai supaya mengelakkan unsur penganiayaan ketika menjalankan siasatan selain sentiasa memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Beliau turut menekankan bahawa persepsi masyarakat terhadap SPRM perlu diberi perhatian serius kerana kredibiliti suruhanjaya bergantung kepada integriti dan profesionalisme pegawainya.
Mengulas aspek penguatkuasaan pula, beliau mahu proses siasatan dan pendakwaan diperkemas agar setiap kes dapat dibawa ke mahkamah dengan lebih tersusun dan berkesan.
Katanya, antara langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuh kerjasama antara bahagian siasatan dan pendakwaan bagi melicinkan pengurusan kes.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pengisian dalaman dipertingkat bagi menangani kekurangan pegawai penyiasat di samping memperluas pendidikan serta kesedaran masyarakat berkaitan pencegahan rasuah.
Semalam, Abd Halim menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra.
Dalam ucapannya, Shamsul Azri berharap kepimpinan baharu itu mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus dan integriti negara selain membawa SPRM ke tahap lebih cemerlang.










