Rafizi Persoal Masa Depan Politik Anwar, Tambun Bukan Lagi Kubu Selamat PKR?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli tampil mempertikaikan kedudukan politik Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kebocoran dokumen analisis kerusi milik PKR baru-baru ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan isu tersebut bukan sekadar membabitkan pengelasan kerusi mengikut kategori Tier 1, Tier 2A, Tier 2B atau Tier 3, sebaliknya mencerminkan tahap sebenar kekuatan parti ketika ini.

Menurut beliau, persoalan paling besar ialah lokasi yang bakal dipilih Anwar untuk bertanding sekiranya kerusi Tambun sendiri kini dianggap tidak lagi cukup kukuh untuk dipertahankan.

Katanya, pada PRU 2022 lalu, Anwar memilih Tambun kerana mahu menunjukkan keberanian politik dengan bertanding di kawasan sukar, sekali gus menolak tanggapan beliau hanya mencari laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri.

“Strategi itu berjaya apabila beliau menang dan akhirnya menjadi Perdana Menteri. Tetapi selepas hampir sepenggal mentadbir negara, Tambun sepatutnya sudah berubah menjadi kubu kuat PKR.

“Jika kerusi yang diwakili Perdana Menteri sendiri masih dianggap berisiko, bagaimana beliau mahu memberi keyakinan bahawa beliau mampu menawan kawasan lain?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Rafizi turut menyenaraikan beberapa lokasi lain seperti Pematang Pauh, Putrajaya, Bandar Tun Razak dan Ampang yang menurutnya tetap mempunyai cabaran politik tersendiri sekiranya dijadikan pilihan baharu Anwar.

Beliau berpandangan kemelut yang dihadapi PKR ketika ini lebih serius daripada sekadar perubahan pola pengundian, malah membabitkan kemerosotan sokongan daripada pelbagai kelompok pengundi.

Dakwanya, sokongan pengundi Melayu terhadap PKR masih belum benar-benar pulih, manakala undi bukan Melayu pula tidak lagi boleh dianggap kekal memihak kepada parti itu seperti sebelum ini.

“Isu kerusi Anwar ini bukan cerita dalaman parti semata-mata. Ia memberi petunjuk jelas tentang tahap keyakinan sebenar terhadap PKR menjelang PRU akan datang.

“Kalau Perdana Menteri sendiri dilihat perlu mencari kawasan lebih selamat, itu menunjukkan keadaan parti sedang berdepan tekanan besar,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier dibentangkan dalam sesi pertemuan melibatkan kira-kira 900 pimpinan PKR pada 2 Mei lalu.

Dokumen berkenaan dilaporkan menunjukkan hanya tujuh daripada 66 kerusi yang dianalisis berada dalam kategori selamat, manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai marginal atau memerlukan pemulihan sokongan segera.

Tambun, Sungai Petani dan Tanjung Malim antara kerusi yang disenaraikan dalam kategori Tier 2B, sementara Gombak dan Sungai Buloh pula diletakkan dalam kelompok paling kritikal yang memerlukan campur tangan besar daripada kepimpinan pusat parti.

BBerkaitan

Latest articles