SHAH ALAM: Lelaki yang dipercayai mengurung dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32, pada Isnin, didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes rogol, rompakan dan mengurung wanita.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata, hasil semakan mendapati suspek pernah disabitkan atas kesalahan berkenaan sebelum dijatuhi hukuman penjara pada tahun 2008.
Menurut beliau, pihak polis kini sedang giat memburu lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes terbaharu itu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes rogol, rompakan dan mengurung mangsa serta pernah menerima hukuman bagi kesalahan tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sebelum ini, polis memaklumkan suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan untuk membayar pakej internet telefon bimbit sekiranya remaja itu membantu mengangkat barang di rumahnya.
Mangsa kemudian dibawa ke kediaman suspek sebelum dipercayai diikat pada bahagian tangan dan kaki serta diliwat.
Bagaimanapun, remaja berkenaan berjaya melepaskan diri selepas membuka ikatan ketika suspek meninggalkannya bersendirian di rumah terbabit.
Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan melalui tingkap bilik sehingga disedari orang awam yang segera menghubungi pihak berkuasa.










