KSN Puji Kepimpinan Azam, Angkat SPRM Jadi Agensi Penguat Kuasa Disanjung

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan kepimpinan Tan Sri Azam Baki yang disifatkan berjaya membawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke tahap lebih cemerlang sepanjang menerajui agensi antirasuah itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, Azam memainkan peranan besar dalam melaksanakan pelbagai reformasi serta memperkukuh reputasi SPRM sebagai badan penguat kuasa yang dihormati.

Menurut Shamsul Azri, sumbangan Azam sepanjang 42 tahun berkhidmat bersama SPRM amat besar khususnya dalam usaha memperkasa integriti dan membanteras rasuah di negara ini.

“Terima kasih dan penghargaan atas khidmat bakti selama 42 tahun bersama SPRM.

“Pelbagai kejayaan dan pembaharuan berjaya dilaksanakan sehingga SPRM muncul sebagai sebuah badan penguat kuasa unggul,” katanya.

Beliau turut menyifatkan jasa Azam kepada negara sebagai sesuatu yang akan terus dikenang, selain berharap beliau terus menyumbang kepakaran dalam apa juga peranan selepas menamatkan perkhidmatan rasmi.

Terdahulu, Azam menamatkan khidmatnya dalam SPRM selepas lebih empat dekad menabur bakti termasuk memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya agensi itu.

Sepanjang tempoh pentadbirannya, SPRM dilihat mengambil pendekatan lebih tegas dan moden dalam membanteras rasuah serta jenayah kewangan, termasuk kejayaan memulihkan aset negara bernilai berbilion ringgit selain membongkar pelbagai kes berprofil tinggi.

BBerkaitan

Latest articles