Jho Low Dipercayai Mohon Pengampunan Trump Untuk Bersih Pertuduhan

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dilaporkan telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam usaha membersihkan pertuduhan jenayah yang dihadapinya di negara itu.

Menurut laporan The Wall Street Journal, permohonan terbabit difailkan sejak beberapa minggu lalu berdasarkan maklumat daripada sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

Jika diluluskan, semua pertuduhan jenayah terhadap Jho Low di AS berkemungkinan digugurkan sepenuhnya.

Laporan itu turut menyebut laman rasmi United States Department of Justice merekodkan satu permohonan yang masih dalam proses atas nama Taek Jho Low.

Permohonan tersebut disenaraikan di bawah kategori “Pardon after Completion of Sentence” dan dipercayai difailkan tahun ini.

Namun begitu, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak berkaitan dakwaan tersebut.

Jho Low masih menjadi individu buruan pihak berkuasa Malaysia susulan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan namanya turut berada dalam senarai notis merah INTERPOL.

Pada Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan itu bagi membantu siasatan kes 1MDB, sekali gus mencetuskan usaha berterusan pihak berkuasa untuk membawanya pulang ke negara ini.

Selain dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB, Jho Low juga dianggap saksi penting dalam prosiding mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

BBerkaitan

Latest articles