SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di dalam longkang di kawasan Taman Sentosa, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1.28 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan anggota polis kemudian digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan awal sebelum ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah tiba pada pukul 2.05 petang.
“Pegawai perubatan mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang bekerja sebagai kontraktor Air Selangor dan sedang melakukan kerja di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HTAR Klang untuk proses bedah siasat.
Hasil laporan awal bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat penyakit jantung iskemia susulan aterosklerosis arteri koronari.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.










