Tiada Anggota ATM Cedera Dalam Insiden Letupan Berhampiran UNIFIL HQ Di Lubnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan tiada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera dalam insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenal pasti berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura, semalam

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang waktu Malaysia berhampiran Malaysia House, iaitu kemudahan rehat bagi lima Pegawai Staf Tentera (PST) ATM yang bertugas di bawah UNIFIL HQ di Naqoura

Beliau berkata Malaysia House terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah yang merupakan penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.

“Pada kira-kira 5.19 petang waktu Malaysia, siren amaran telah dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker telah dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, letupan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku.

Kementerian Pertahanan memaklumkan kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.

Pada masa sama, penilaian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap kerosakan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan pembaikan akan diselaraskan melalui MALBATT 850-13.

Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi dengan kerjasama pihak UNIFIL bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles