Mangsa Diikat Sebelum Diliwat Selepas Diperdaya Pakej Internet

SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa kurungan dan liwat oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seksyen 32, Bukit Kemuning, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu bapa mangsa pada petang hari yang sama.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum mengajaknya ke pangsapuri berkenaan.

“Mangsa dipercayai dikurung di dalam sebuah bilik tidur sebelum kaki dan tangannya diikat serta disyaki diliwat oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas menjerit meminta pertolongan melalui tingkap bilik ketika ditinggalkan bersendirian oleh suspek.

Katanya, jeritan itu didengari penduduk berhampiran yang kemudian membantu mangsa sebelum menghubungi pihak polis.

Ramsay berkata, suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 342 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan anak-anak agar berwaspada serta tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sabri Rani di talian 017-2892628 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles