Jangan Heret Sultan Selangor Dalam Permainan Politik – UMNO Selangor

KUALA LUMPUR: UMNO Selangor memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak memperalatkan institusi Raja Melayu atau mengaitkan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam percaturan politik sempit yang boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan parti itu kekal komited mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan daripada sebarang cubaan menghina, memfitnah atau mencetuskan provokasi terhadap institusi berkenaan.

Menurut Megat Zulkarnain, UMNO Selangor menjunjung penuh kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei yang memperjelaskan kedudukan dan peranan Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

Katanya, setiap titah, nasihat dan teguran Sultan Selangor dibuat atas tanggungjawab Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.

“Institusi Raja bukan sekadar lambang semata-mata, sebaliknya menjadi elemen penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya memahami kedudukan Sultan Selangor berdasarkan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tanpa cuba membina persepsi negatif terhadap titah Baginda.

Dalam masa sama, Megat Zulkarnain menegaskan UMNO Selangor sebelum ini turut mempertahankan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi yang didakwa cuba diputarbelitkan pihak tertentu.

Beliau turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor di media sosial yang disifatkan melampaui batas adab serta budaya masyarakat Melayu.

Katanya, institusi Kesultanan tidak sepatutnya dijadikan ‘peluru politik’ demi kepentingan mana-mana pihak dan semua pemimpin perlu lebih matang serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan Raja-Raja Melayu.

Tambah beliau, keutamaan ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri dan memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan.

Semalam, Dewan Diraja Selangor menolak dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi kenyataan rasmi itu, Dewan Diraja Selangor menegaskan titah Baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April lalu adalah selaras dengan amalan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles