PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Badan Peguam boleh meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan pendakwaan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin selepas mahkamah berpendapat permohonan dikemukakan Badan Peguam bukan bersifat remeh, sebaliknya membabitkan persoalan penting yang wajar diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Dalam penghakimannya, Faizah berkata isu dibangkitkan berkaitan kuasa dan tindakan Peguam Negara menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid mempunyai merit untuk diteliti oleh mahkamah.
Menurut beliau, cabaran berkenaan turut menimbulkan persoalan undang-undang yang boleh dipertikaikan dan memerlukan penelitian lanjut menerusi semakan kehakiman substantif.
“Kes ini mempunyai ciri luar biasa dan jarang berlaku, justeru ia wajar didengar sepenuhnya berdasarkan merit,” katanya ketika membacakan keputusan panel berkenaan.
Susulan keputusan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan kebenaran difailkan Badan Peguam.
Mahkamah turut mengarahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk prosiding pendengaran penuh semakan kehakiman.
Turut bersidang dalam panel tersebut ialah Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.










