Keputusan Permohonan Kemasukan UA, IPTA dan MARA BPT Diumum 22 Mei Ini

PUTRAJAYA, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Sesi Akademik 2026/2027 akan diumumkan pada 22 Mei ini.

Menurut kenyataan KPT hari ini, keputusan berkenaan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari pada 22 Mei sehingga 31 Mei, jam 5 petang melalui laman sesawang rasmi UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my selain menerusi aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.

KPT memaklumkan pengesahan setuju terima tawaran pula akan dibuka bermula 23 hingga 31 Mei melalui laman web UA, IPTA dan MARA BPT masing-masing.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA, IPTA dan MARA BPT kepada calon yang berjaya mulai 23 Mei selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, hanya pemohon yang tidak berjaya atau menerima tawaran pengajian peringkat sijil sahaja dibenarkan mengemukakan rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei.

Rayuan ke Kolej Komuniti pula boleh dibuat terus kepada institusi berkenaan tanpa melalui sistem UPUOnline.

KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian di UA, IPTA dan MARA BPT tidak dibenarkan.

Menurut kementerian itu, pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang masih ada selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles