14 ADUN UMNO N. Sembilan Kembali Sokong Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Kemelut politik di Negeri Sembilan yang tercetus sebelum ini akhirnya menemui titik penyelesaian apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang pernah menarik sokongan kini kembali menyokong Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan itu sekali gus memastikan pentadbiran negeri kekal stabil di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut beliau, sebarang isu yang timbul selepas ini akan ditangani oleh kepimpinan tertinggi parti, selaras dengan persefahaman yang telah dicapai antara UMNO dan Pakatan Harapan dalam pertemuan mereka sebelum ini.

“Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal utuh. Sokongan daripada kesemua ADUN terlibat telah dipulihkan,” katanya dalam sidang media mingguan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jemaah Menteri mengambil maklum perkembangan tersebut dan berpandangan krisis pentadbiran negeri itu telah berjaya diselesaikan secara baik hasil rundingan antara pimpinan kedua-dua parti.

Perkembangan terbaharu ini menamatkan ketidaktentuan politik yang bermula pada 27 April lalu, apabila kumpulan ADUN UMNO berkenaan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri susulan isu melibatkan adat dan perlembagaan negeri.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan pertemuan antara pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan tidak menyentuh soal pilihan raya negeri di Johor, Melaka mahupun Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles