KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam urus niaga pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings kini berada di peringkat akhir, dengan cadangan pertuduhan terhadap dua individu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata setakat ini seramai 22 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, serta bekas pegawainya, James Chai.
“Saya tidak boleh dedahkan identiti mereka, namun kita telah mencadangkan supaya pertuduhan dikenakan,” katanya dalam sidang media.
Menurut beliau, dua lagi saksi dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan, dengan masing-masing seorang berada di Taiwan dan seorang lagi di dalam negara.
Siasatan itu bermula pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa NGO yang mempersoalkan ketelusan perjanjian berkenaan.
Mereka mendakwa urus niaga tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah, sekali gus berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Selain isu prosedur, siasatan turut meneliti kemungkinan wujud konflik kepentingan melibatkan individu tertentu yang didakwa menerima jawatan penting dalam syarikat asing terbabit selepas meninggalkan perkhidmatan kerajaan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk kepentingan peribadi.
Terdahulu, pada 12 Februari, Rafizi menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan laporan SPRM berhubung perjanjian kerajaan dengan Arm Holdings.










