BATU PAHAT: Pemandu van yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang murid perempuan di Parit Sulong semalam kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan oleh Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, berkuat kuasa hari ini hingga Jumaat.
Menurut laporan, permohonan reman dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melibatkan kesalahan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah sekitar jam 8 pagi dengan diiringi anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Prosiding reman berlangsung kira-kira 15 minit sebelum lelaki itu dibawa keluar dalam keadaan tenang dan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa, Nur Aini Humairah, 8, maut selepas dirempuh van yang dipandu suspek di hadapan pintu pagar utama sekolahnya.
Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Insiden menyayat hati itu berlaku hanya beberapa minit sebelum ibunya, Asmilah Tukiran, 37, tiba untuk menjemputnya pulang selepas tamat sesi persekolahan.
Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustafa, Parit Sulong, sekitar jam 8.35 malam tadi.










