SPRM Peroleh Semula RM31.3 Bil Dana 1MDB, Karya Seni Bernilai Tinggi Bakal Dipamer Kepada Umum

KUALA LUMPUR: Usaha pemulihan aset skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menunjukkan perkembangan signifikan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion, bersamaan 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana yang diseleweng.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu bukan sahaja melepasi sasaran awal, malah diiktiraf sebagai antara kadar pemulihan aset tertinggi di peringkat global bagi kes jenayah kewangan berskala besar.

Menurutnya, kejayaan tersebut dipacu melalui kerjasama antarabangsa melibatkan institusi seperti Goldman Sachs, International Petroleum Investment Company (IPIC), Aabar Investments, serta firma audit Deloitte dan KPMG.

Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut memperkukuh usaha pengesanan dan pelucuthakan aset di luar negara.

Antara aset bernilai tinggi yang berjaya dipulihkan termasuk kapal layar mewah Equanimity, jet peribadi serta hartanah luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut mengumumkan bahawa empat lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan 1MDB akan diserahkan kepada Balai Seni Negara minggu depan untuk tujuan pemuliharaan dan pameran awam.

Azam berkata, karya seni tersebut kini ditempatkan sementara di ibu pejabat SPRM dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan secara rasmi.

Pihak Balai Seni Negara akan menentukan masa sesuai untuk membuka pameran kepada orang ramai.

Azam menegaskan, karya berkenaan bukan sekadar aset bernilai tinggi, tetapi simbol penting yang mengingatkan masyarakat tentang skandal tersebut serta keperluan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

Empat lukisan tulen itu ialah “Composition (1953)” oleh Joan Miró, “Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934)” oleh Maurice Utrillo, “Étude pour femme couchée (1948)” oleh Balthus, serta “L’Ecuyère et les clowns (1961)” oleh Pablo Picasso.

“Usaha ini bukan sahaja memulihkan kewangan negara, tetapi juga mengembalikan kepercayaan rakyat. SPRM akan terus menjejaki baki aset tanpa mengira lokasi atau tempoh masa,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles