NGO Lapor Polis Berhubung Ucapan Jalaluddin Didakwa Berkait Isu 3R

KUALA LUMPUR:Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, susulan dakwaan ucapannya menyentuh isu sensitif melibatkan agama, raja dan kaum (3R).

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap ucapan berkenaan.

Menurut beliau, kenyataan Jalaluddin ketika berucap dalam Konvensyen 80 Tahun UMNO Sabtu lalu didakwa mengaitkan institusi diraja ketika mengulas krisis politik di Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap sensitiviti dan kedaulatan institusi berkenaan.

Megat mendakwa tindakan itu berpotensi melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain tidak selari dengan prinsip raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Isu berkaitan institusi raja tidak sepatutnya dijadikan bahan dalam pentas politik. Sebagai pemimpin berpengalaman, beliau seharusnya lebih berhati-hati dan tidak membawa perkara sensitif ke ruang awam,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Megat turut menegaskan bahawa parti politik, khususnya UMNO, perlu memainkan peranan dalam memastikan pemimpin mereka tidak menyentuh institusi diraja dalam ucapan politik.

Terdahulu, Jalaluddin dilaporkan menghuraikan kronologi krisis politik Negeri Sembilan dalam ucapannya bagi menjelaskan keputusan beliau bersama 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, langkah itu diambil berikutan kegagalan pentadbiran negeri menguruskan isu melibatkan institusi perlembagaan sehingga menimbulkan perhatian umum.

BBerkaitan

Latest articles