SEREMBAN – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Mohd Razi Mohd Ali tampil mempertahankan tindakan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias susulan dakwaan bahawa beliau mengheret institusi diraja dan adat ke pentas politik.
Dalam satu kenyataan, Mohd Razi menolak sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Megat D Shahriman Zaharudin terhadap Jalaluddin.
Menurut beliau, tindakan Jalaluddin tidak pernah menyentuh atau menghina institusi diraja mahupun Adat Perpatih, sebaliknya bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan institusi tersebut daripada menjadi bahan perdebatan terbuka.
“Beliau menegaskan supaya kedua-dua institusi ini dipelihara dan jangan sampai berlaku perdebatan umum di media sosial sehingga mencemarkan imej serta ketinggian institusi diraja dan adat,” katanya.
Mohd Razi berkata, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan secara berhemah tanpa mencederakan mana-mana pihak.
Beliau turut menegaskan bahawa Jalaluddin serta kepimpinan UMNO Negeri Sembilan kekal taat setia kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta menjunjung institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Dalam kenyataan sama, beliau mendakwa terdapat pihak tertentu cuba mengalihkan perhatian daripada kelemahan dan kesilapan sebenar dengan menukar naratif isu yang sedang berlaku.
Menurutnya, penjelasan Jalaluddin pada Konvensyen 80 Tahun UMNO sebelum ini bertujuan memberi penerangan kepada ahli parti dan masyarakat berhubung keadaan sebenar supaya dapat menangkis dakwaan serta fitnah yang disebarkan pihak tertentu.
Mohd Razi turut mempersoalkan tindakan Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menggunakan nama institusi diraja dalam gerakan mereka.
“Bagaimana pula nama Tuanku diletakkan di sekretariat dan digunakan dalam siri demonstrasi serta sidang media? Adakah itu tidak dianggap membawa nama institusi diraja ke medan politik?” katanya.
Kenyataan tersebut hadir ketika kemelut politik dan krisis institusi adat di Negeri Sembilan terus menjadi perhatian umum susulan pertikaian melibatkan kerajaan negeri, pemimpin politik dan institusi adat.










