MELAKA: Kehadiran seorang remaja perempuan dalam keadaan berlumuran darah di Hospital Melaka bulan lalu membawa kepada pendedahan satu kes cubaan menggugurkan kandungan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu mula dikesan selepas pihak hospital membuat laporan polis sekitar jam 6.50 petang pada 25 April lalu.
Siasatan awal mendapati remaja berusia 18 tahun itu dipercayai cuba menggugurkan kandungan berusia kira-kira 22 minggu menggunakan pil sebelum mengalami komplikasi serius apabila uri tidak keluar sepenuhnya.
Menurut beliau, situasi menjadi lebih mengejutkan apabila remaja itu memaklumkan janin yang dilahirkan dalam keadaan tidak bernyawa telah diambil oleh teman lelakinya, juga berusia sekitar 18 tahun.
“Lelaki terbabit dipercayai merancang untuk menanam janin tersebut di belakang rumah, namun bertindak menyembunyikannya terlebih dahulu di dalam sebuah kereta jenis Honda City di kediamannya,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas maklumat itu, polis menahan remaja lelaki berkenaan pada malam yang sama kira-kira jam 11.40 malam.
Keesokan harinya, remaja perempuan terbabit turut ditahan sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 318 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menyembunyikan kelahiran serta menggugurkan kandungan.
Menurut Dzulkhairi, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pasangan itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Melaka di Ayer Keroh pada Jumaat ini.










