UMNO Mahu Sambut Ulang Tahun Ke-80 Di Istana Besar Johor, Imbau Detik Lahir Parti

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyuarakan harapan agar sambutan ulang tahun ke-80 parti itu pada 11 Mei depan dapat diadakan di lokasi bersejarah kelahirannya, iaitu Istana Besar Johor.

Menurut beliau, Johor bukan sekadar negeri biasa dalam sejarah UMNO, sebaliknya menjadi titik mula kebangkitan parti Melayu itu pada tahun 1946.

Justeru, beliau berharap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dapat mengusahakan kebenaran bagi membolehkan pemimpin serta ahli parti kembali ke lokasi berkenaan sempena detik bersejarah itu.

“UMNO dilahirkan di Istana Besar Johor. Maka amat bermakna jika ulang tahun ke-80 ini dapat disambut di tempat asalnya,” katanya ketika menutup Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL, hari ini.

Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa usaha tersebut mampu direalisasikan, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia perjuangan awal parti yang menjadi tunjang kepada politik Melayu.

Dalam ucapannya, beliau mengimbas detik penubuhan UMNO pada tahun 1946 yang menyaksikan kebangkitan pemimpin tempatan menentang Malayan Union.

Antara tokoh yang memainkan peranan penting termasuk Onn Jaafar, Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, Zainal Abidin Ahmad serta Zainon Munshi Sulaiman.

Beliau menegaskan, penubuhan UMNO yang menghimpunkan 41 pertubuhan Melayu ketika itu menjadi titik tolak penting dalam penyatuan bangsa, sekali gus membuktikan kekuatan hanya mampu dicapai melalui kesatuan.

“Sejarah ini perlu terus diingati. Bukan sekadar mencapai kemerdekaan, tetapi mempertahankannya adalah cabaran yang jauh lebih besar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles