Cemburu Jadi Punca Kes Pelajar Kolej Maut Dengan 61 Tikaman

KOTA BHARU: Perasaan cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam seorang penuntut kolej berusia 19 tahun yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, tengah malam semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek utama yang juga teman lelaki mangsa dan sebaya dengannya dipercayai bertindak selepas berlaku salah faham yang mencetuskan pertengkaran.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam ketika berada di dalam kenderaan milik suspek sebelum mayatnya ditemui berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah kira-kira jam 12.35 tengah malam.

“Dengan penahanan suspek utama, polis percaya kes ini telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi remaja yang juga rakan mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan, manakala empat individu termasuk sepasang warga emas direman antara tiga hingga tujuh hari.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Hasil pemeriksaan forensik mendapati mangsa mengalami 61 tikaman pada seluruh badan dan muka, dengan punca kematian disebabkan kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles