Asna Tepis Spekulasi Dilantik Exco Baru N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin, menafikan dakwaan kononnya beliau bakal dilantik sebagai Exco kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan akan terus akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti.

“Apa-apa pun, saya sebagai ahli parti akan tetap setia dengan segala arahan daripada Presiden,” katanya ringkas memetik laporan sebuah portal.

Spekulasi pelantikan Exco baharu tercetus susulan tindakan empat wakil UMNO yang sebelum ini memegang jawatan dalam pentadbiran negeri dilaporkan memulangkan aset serta kenderaan rasmi, sekali gus memberi bayangan kemungkinan rombakan barisan kerajaan negeri.

Sumber turut memaklumkan bahawa nama-nama pengganti berkemungkinan sudah mendapat persetujuan awal hasil pertemuan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.

Selain Asna, beberapa nama lain turut disebut sebagai calon berpotensi mengisi kekosongan tersebut, termasuk ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi, walaupun kedua-duanya belum memberikan sebarang kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menafikan laporan bahawa barisan Exco baharu telah dilantik bagi mengisi kekosongan tersebut selepas 14 ADUN Barisan Nasional menarik sokongan terhadap pentadbiran negeri.

Sementara itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, turut menolak dakwaan bahawa beliau berminat untuk mengisi jawatan Menteri Besar.

Tegasnya, pelantikan jawatan itu bukan ditentukan parti, sebaliknya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

BBerkaitan

Latest articles