KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, tidak melihat dirinya kembali ke parti itu dalam masa terdekat meskipun Presiden PKR, Anwar Ibrahim, membuka ruang kepada bekas pemimpin untuk menyertai semula parti berkenaan.
Zuraida berkata, tumpuannya kini adalah kepada gerakan NGO menerusi Jelajah Payung Besar Orang Melayu, khususnya dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penyertaan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk menyambut seruan Anwar.
“Saya sekarang mahu fokus kepada penggerak Jelajah Payung Besar untuk memastikan orang Melayu keluar mengundi pada PRU16,” katanya memetik FMT.
Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) berkata, jelajah berkenaan bukan sekadar bertujuan menggalakkan pengundi Melayu menunaikan tanggungjawab, malah memberi penerangan berkaitan kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Zuraida mendakwa kedudukan peruntukan itu semakin terhakis, sambil mendakwa wujud campur tangan pemimpin bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.
Agenda Payung Besar sebelum ini dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengasaskannya dengan hasrat menyatukan orang Melayu tanpa terikat kepada kepentingan parti politik tertentu.
Kenyataan Zuraida itu hadir ketika isu kepulangan beberapa bekas pemimpin PKR kembali menjadi perhatian selepas Datuk Datuk Kamarudin Jaffar dan Datuk Mansor Othman dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyertai semula parti berkenaan.
Zuraida, Kamarudin dan Mansor merupakan antara 11 Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Februari 2020 sebelum menyertai Bersatu.
Perkembangan itu berlaku dalam tempoh Langkah Sheraton yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun sama.
Dalam perkembangan berkaitan, PKR sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuraida pada 2020 atas dakwaan melanggar bon kontraktual yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum 2018.
Bon berkenaan menetapkan bayaran RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya Zuraida meninggalkan parti untuk menyertai parti politik lain atau menjadi Ahli Parlimen bebas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun 2023 memutuskan Zuraida bertanggungjawab melanggar syarat bon tersebut selepas membenarkan saman PKR.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2024 mengekalkan dapatan bahawa berlaku pelanggaran kontrak, namun memutuskan jumlah RM10 juta sebagai tidak munasabah.
Jumlah yang perlu dibayar kemudian dikurangkan kepada RM100,000.










