KUALA LUMPUR: RasuahBusters menggesa Kerajaan MADANI untuk memberi keutamaan serta menetapkan garis masa yang jelas bagi menyelesaikan sepenuhnya agenda reformasi institusi sepanjang penggal pemerintahan ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, RasuahBusters mengalu-alukan komitmen parti PKR dan DAP terhadap agenda anti-rasuah, namun mengingatkan bahawa tekad politik tidak boleh berhenti pada retorik semata-mata.
”Tekad politik mesti diterjemahkan kepada perubahan institusi yang efektif, berkekalan dan melangkaui individu serta penggal pemerintahan,” tegas kenyataan itu.
Antara keutamaan mendesak yang dibangkitkan adalah penetapan garis masa bagi reformasi institusi utama, termasuk pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan Ombudsman, serta pengukuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Selain itu, RasuahBusters turut menuntut penguatan peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang menerusi pemberian autonomi dan kepakaran yang mencukupi, di samping pindaan Peraturan Mesyuarat bagi mewujudkan mekanisme rujukan wajib oleh Jawatankuasa Pilihan Khas bagi projek berskala besar melebihi RM3 bilion.
Bagi langkah jangka pendek, pentadbiran digesa melaksanakan segera reformasi yang tidak memerlukan pindaan undang-undang menerusi keputusan pentadbiran dan penambahbaikan prosedur.
Manakala dari sudut ekonomi, tatakelola syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu diperketat berasaskan sistem merit dan pendedahan awam yang setimpal.
”GLC dan GLIC bukan ruang yang terpisah daripada prinsip akauntabiliti awam hanya kerana pengoperasian adalah melalui struktur korporat,” menurut pergerakan tersebut.
RasuahBusters menegaskan agar pimpinan politik kekal teguh menjadikan agenda anti-rasuah sebagai keutamaan nasional demi memastikan sesiapa sahaja yang memegang kuasa sentiasa tertakluk kepada undang-undang, pengawasan Parlimen, serta akauntabiliti terhadap rakyat.










