JOHOR BAHRU: Ekonomi negeri Johor terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus bagi tahun 2025, sekali gus menjadi yang tertinggi di Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian luar biasa itu menyaksikan nilai Keluaran Dalam Negeri KDNK (KDNK) negeri berkenaan mencecah RM170.9 bilion.
Menurut beliau, Johor turut berjaya menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM110 bilion sepanjang tahun lalu.
”Bagi kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja, sebanyak RM77 bilion pelaburan diluluskan melibatkan hampir 400 projek.
”Inisiatif ini dianggarkan mampu mewujudkan lebih 24,500 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat negeri ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau pada Isnin.
Onn Hafiz memaklumkan perkara berkenaan selepas menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Singapore Manufacturing Federation (SMF) yang menghimpunkan wakil daripada 39 syarikat dan organisasi pelbagai sektor.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri terus komited memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC).
”JTDC bertindak menyelaraskan pembangunan bakat tempatan mengikut keperluan sebenar industri melalui kerjasama strategik antara syarikat, universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Maybank yang memudah cara hampir RM20 bilion pembiayaan dan pelaburan berkaitan JS-SEZ, serta SMF yang aktif membawa pelabur Singapura meneroka peluang di Johor.
Beliau berharap kerjasama strategik antara Johor dan Singapura dapat terus diperkukuh bagi memacu pembangunan negeri secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Johor pada masa hadapan.










