SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menggesa agar satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan segera bagi menangani kemelut politik yang sedang melanda negeri itu, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran tidak terus terjejas.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penangguhan sidang DUN sehingga tempoh enam bulan seperti dimaklumkan sebelum ini berpotensi mencetuskan ketidaktentuan dalam urus tadbir kerajaan negeri.
Menurut beliau, situasi tersebut boleh membuka ruang kepada pelbagai isu baharu selain menjejaskan kelancaran pentadbiran sedia ada.
Jelasnya, jika persidangan tidak diadakan dalam masa terdekat, kestabilan kerajaan negeri akan terus tergugat dan memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan dasar serta keputusan penting.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sidang khas DUN merupakan langkah paling wajar untuk merungkai krisis berkenaan.
Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menggesa Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman supaya mengambil tindakan segera dengan memanggil sidang khas berkenaan.
Katanya, langkah tersebut dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi memulihkan keadaan dan mengembalikan kestabilan politik negeri.
Terdahulu, kemelut politik Negeri Sembilan tercetus selepas 14 ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tindakan itu dibuat atas alasan kegagalan menyelesaikan isu melibatkan institusi diraja negeri.
Dalam perkembangan sama, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) turut mengemukakan cadangan kerjasama secara bertulis kepada UMNO dan BN sebagai usaha memulihkan kestabilan politik negeri.
Sebelum ini, persidangan DUN Negeri Sembilan Ke-15 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sepatutnya bersambung minggu ini.
Namun, ia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian, seperti dimaklumkan oleh Menteri Besar selepas istiadat pembukaan berlangsung.










