KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekecewaan terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan langkah tersebut sebagai bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan, malah menganggapnya sebagai usaha “tebuk atap” untuk mengambil alih pentadbiran negeri.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja tidak berasaskan prestasi kepimpinan Menteri Besar, tetapi turut dilihat mengabaikan kepentingan rakyat ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan bekalan global.
“Langkah ini jelas satu bentuk pengkhianatan politik. Ia dilakukan tanpa mengambil kira kesan terhadap rakyat, sedangkan kerajaan sedang berusaha mengurus ekonomi serta mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa PH kekal komited memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa, selaras dengan pendirian yang telah disembah maklum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa PH akan terus bekerjasama dengan kepimpinan sedia ada bagi mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi negeri, selain mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai tunjang sistem pemerintahan negara.










