KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kemasukan dana berjumlah RM19.5 juta ke akaun Bersatu dianggap mencurigakan susulan kekerapan transaksi dan nilai yang besar.
Saksi pendakwaan, Norazeanti Miswan yang juga pegawai Bank Muamalat Malaysia Berhad, menjelaskan sebanyak 29 transaksi diterima daripada syarikat pembinaan Mamfor Sdn. Bhd. antara Mei 2021 hingga November 2022, dengan setiap bayaran mencecah antara RM500,000 hingga RM2 juta.
Menurutnya, pemindahan berulang daripada satu entiti ke akaun parti politik adalah luar kebiasaan, malah beliau tidak pernah menemui situasi sama melibatkan pelanggan lain.
“Setakat pengetahuan saya, tiada syarikat lain menyalurkan dana kepada parti politik seperti ini,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua transaksi tersebut telah dilaporkan sebagai mencurigakan kepada pihak ibu pejabat bank untuk tindakan lanjut.
Malah, cek yang digunakan hanya dilabel sebagai “sumbangan” tanpa dinyatakan sebagai sumbangan politik.
Norazeanti juga berkata, Mamfor tidak pernah membuat bayaran kepada parti lain seperti UMNO, DAP atau Pas, sebelum akaunnya ditutup pada Februari 2025.
Keterangan itu dikemukakan dalam perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana ratusan juta ringgit berkaitan projek Jana Wibawa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dijangka bersambung petang ini.










