KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang keputusan berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa hingga boleh menggugat kestabilan politik negeri itu.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan kepentingan rakyat dan negeri terus terpelihara, selain menghormati institusi diraja yang menjadi asas sistem pemerintahan negara.
“Tidak wajar untuk membuat keputusan terburu-buru sehingga menimbulkan ketidakstabilan. Menteri Besar mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan negeri di samping memuliakan institusi raja,” katanya kepada pemberita di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menghadiri majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di Le Quadri.
Kenyataan itu hadir susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara berikutan kemelut yang didakwa boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menekankan bahawa sebarang isu melibatkan institusi diraja perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan serta berpandukan undang-undang dan Perlembagaan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menitahkan supaya Menteri Besar meneruskan tugas buat sementara waktu demi kestabilan dan kebajikan rakyat.
“Saya telah menghadap Tuanku dan menghargai kebijaksanaan baginda yang mahu Menteri Besar terus menjalankan tanggungjawab sehingga isu perlembagaan ini diperjelaskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kemelut yang berlaku bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya melibatkan tafsiran undang-undang yang turut membabitkan Undang dan institusi Yang di-Pertuan Besar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang perkembangan seterusnya perlu melalui saluran sah mengikut peruntukan undang-undang negeri.
“Apa jua keputusan selepas ini harus ditentukan melalui proses yang sewajarnya oleh Negeri Sembilan,” katanya.










