Kemelut Politik Negeri Sembilan: Zahid Jamin Penyelesaian Ikut Saluran Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan akan ditangani menerusi saluran politik yang sah, dengan mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang serta peraturan sedia ada demi memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.

Presiden UMNO itu menegaskan, fokus utama ketika ini adalah mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membentuk pentadbiran negeri yang kukuh, sekali gus memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.

Menurutnya, semua pihak perlu menghormati Undang-undang Tubuh Negeri serta peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai asas penting dalam merungkai kemelut berkenaan.

Beliau berkata, proses penyelesaian bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu melalui prosedur yang betul agar setiap keputusan yang dibuat adalah sah dan diterima semua pihak.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang usaha penyelesaian akan dibuat melalui pendekatan politik semata-mata tanpa melibatkan campur tangan terhadap pentadbiran kerajaan negeri atau menyentuh undang-undang adat Negeri Sembilan.

Mengulas kemungkinan kerjasama politik termasuk dengan Perikatan Nasional (PN), Zahid berkata perkara itu memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut di peringkat tertinggi.

Tambah beliau, satu pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung hari ini bagi membincangkan langkah terbaik menyelesaikan isu berkenaan, namun lokasi pertemuan tersebut tidak didedahkan.

BBerkaitan

Latest articles