14 ADUN BN Negeri Sembilan Hilang Kepercayaan Terhadap Menteri Besar

SEREMBAN,— Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu media oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama kesemua 14 ADUN BN Negeri Sembilan hari ini susulan krisis yang dikaitkan dengan Institusi Adat dan Perlembagaan negeri.

Menurut Jalal wakil rakyat BN menyifatkan mereka berdukacita dan kecewa dengan perkembangan semasa, sambil menegaskan komitmen untuk terus menghormati Institusi Adat dan Perlembagaan tanpa campur tangan dalam urusan berkaitan.

“Sebagai makluman, kami Exco daripada UMNO BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka berpandangan Menteri Besar seharusnya memainkan peranan sewajarnya dengan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani krisis berkenaan.

Jalal yang juga exco kanan Kerajaan negeri dan juga Adun Pertang berkata krisis yang berlaku dilihat berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri serta memberi kesan kepada kestabilan politik dan keharmonian rakyat di Negeri Sembilan.

Dalam sidang media itu juga, kesemua 14 ADUN BN menyatakan pendirian sebulat suara untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar.

Pada masa sama, mereka menegaskan sokongan penuh terhadap Institusi Adat, Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain menuntut pembentukan kerajaan yang stabil bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan berkesan.

Pemakluman rasmi berhubung pendirian tersebut akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas sidang media selesai.

Perkembangan ini dijangka memberi implikasi besar terhadap landskap politik Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

BBerkaitan

Latest articles