KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan identiti pelajar yang dipercayai terlibat dalam insiden tular membabitkan pakaian sekolah seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang digunting, dipercayai akibat perbuatan buli.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan siasatan kes berkenaan kini hampir selesai selepas laporan lengkap dikemukakan oleh pihak pengurusan MRSM terlibat.
Menurut beliau, tindakan susulan akan diambil sebaik sahaja siasatan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Pelaku telah dikenal pasti dan kita kini di peringkat akhir siasatan. Laporan terus disalurkan kepada saya dan proses ini perlu disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 di MRSM Tun Ghafar Baba.
Mengulas kemungkinan tindakan disiplin, termasuk pembuangan sekolah, beliau menjelaskan keputusan tersebut bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar terlibat.
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi mengakui terdapat kelemahan dalam pelaporan sebelum ini, namun insiden yang menjadi perhatian umum itu memberi pengajaran penting kepada semua pihak agar setiap kes ditangani dengan lebih serius.
Beliau turut menegaskan bahawa MARA tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaannya.
“Jika terbukti bersalah dan gagal mengawal tingkah laku, tindakan tegas akan diambil. MRSM bukan tempat untuk pembuli,” katanya lagi.










