KUALA LUMPUR: Kerajaan kini meneliti cadangan untuk mengurangkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel sebagai usaha segera membantu rakyat menghadapi tekanan kos bahan api yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah mengarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, supaya mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan pengurangan tersebut dalam masa terdekat.
Menurut beliau, langkah itu dilihat lebih praktikal buat masa ini berbanding menurunkan harga diesel secara langsung yang melibatkan implikasi kewangan besar kepada kerajaan.
“Buat masa ini, penurunan harga diesel sukar dilaksanakan kerana beban subsidi yang tinggi. Namun, pengurangan cukai jalan adalah antara pilihan yang boleh dipertimbangkan segera,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Anwar menjelaskan, kerajaan kini menanggung beban subsidi bahan api yang mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan, sekali gus memerlukan pengurusan fiskal yang berhati-hati kerana ia melibatkan dana awam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan subsidi bersasar bagi petrol RON95 akan terus dikekalkan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan terdapat kira-kira 1.8 juta kenderaan diesel di negara ini, justeru kerajaan komited mencari keseimbangan antara keperluan kewangan negara dan kebajikan rakyat.










