Nama KP SPRM Baharu Akan Diumum Selepas Perbincangan Dengan Agong

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pengumuman Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat dalam masa terdekat selepas melalui proses perbincangan bersama Sultan Ibrahim.

Menurut beliau, pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong telah berlangsung pada pagi tadi bagi membincangkan perkara berkenaan, namun nama calon yang dipilih masih belum didedahkan kepada umum.

“Saya akan umumkan kemudian. Perbincangan dengan Tuanku sudah diadakan pagi tadi,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda sendiri akan menentukan calon paling layak untuk menerajui SPRM, memandangkan jawatan tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berjalan dengan berkesan.

Baginda turut menegaskan bahawa isu pelantikan itu tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Ketika ditanya mengenai senarai calon yang dikemukakan kepada Istana Negara, Anwar memilih untuk tidak mengulas lanjut, sebaliknya berseloroh dengan menyatakan terdapat ramai individu berkelayakan.

“Calon yang layak ada 120 orang,” katanya berseloroh.

BBerkaitan

Latest articles