JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang dakwaan serius yang mengaitkan dirinya dengan penyelewengan wang di luar negara perlu disertakan bukti kukuh, bukan sekadar tuduhan tanpa asas di media sosial.
Menurut beliau, dakwaan tular kononnya melibatkan pegawainya mencuri wang dan menyimpannya di Afrika atas arahan beliau adalah tidak berasas dan tidak wajar dilayan.
“Kalau ada alasan, kemukakan bukti. Takkan setiap komen di media sosial saya perlu jawab? Kalau benar, buktikan. Kalau tidak, ini hanya jadi sarang fitnah,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa fokus beliau kini adalah kepada tanggungjawab mentadbir negara dan bukan melayan setiap tuduhan liar yang timbul dalam talian.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap satu rakaman video tular yang mengandungi dakwaan serius oleh individu dikenali sebagai Sofia Rini.
Menurut Tun Faisal, video tersebut memuatkan beberapa tuduhan termasuk dakwaan bahawa wang yang dikatakan dicuri oleh bekas pegawai Perdana Menteri telah dibawa ke Afrika untuk disimpan, selain mendakwa tindakan itu dilakukan atas arahan Anwar sendiri.
Rakaman sama turut mendakwa Perdana Menteri akan melarikan diri ke luar negara seperti Afrika atau Turki sekiranya berlaku sesuatu dalam negara, selain menuduh bekas pegawai yang dinamakan memiliki kekayaan mencecah berbilion ringgit.










