KUALA LUMPUR: Proses pelantikan ketua pembangkang baharu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa walaupun kekosongan jawatan itu masih belum diisi, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, masih terdapat tempoh mencukupi sebelum sidang Parlimen akan datang yang dijadual berlangsung pada Jun, justeru perbincangan lanjut dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang perlu diberi keutamaan.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan pendekatan berhati-hati lebih wajar diambil bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan mendapat persetujuan menyeluruh.
“Orang tua kata, biar lambat asal selamat,” katanya seperti dilaporkan.
Kenyataan itu dilihat berbeza dengan pandangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini menekankan keperluan mengisi jawatan tersebut dengan segera bagi mengelakkan spekulasi berpanjangan yang boleh menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN).
Bekas perdana menteri itu turut memaklumkan beliau masih menunggu keputusan daripada kepimpinan PAS berhubung calon yang akan dinamakan.
Terdahulu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak lagi memegang jawatan ketua pembangkang selepas meletak jawatan susulan pemecatannya daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk memaklumkan kekosongan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Bagaimanapun, Johari dilaporkan belum menerima sebarang notis rasmi berkaitan perkara itu setakat ini.
Sebelum ini, PN memutuskan seorang Ahli Parlimen daripada PAS akan dilantik mengisi jawatan berkenaan sebelum penghujung Mac, namun sehingga kini tiada pengumuman dibuat.










