PASIR PUTEH: UMNO menegaskan komitmen untuk kekal menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal demi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara terus terjamin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata sebarang tindakan untuk menarik sokongan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan, terutamanya jika langkah itu diikuti oleh parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Beliau menjelaskan walaupun Kerajaan Perpaduan masih memiliki majoriti sekiranya 30 Ahli Parlimen UMNO keluar, situasi politik berisiko berubah sekiranya terdapat wakil rakyat atau gabungan lain mengambil tindakan serupa.
“Kalau kami keluar, mungkin ada orang lain lagi yang keluar dari Sabah dan Sarawak mengikut jejak langkah kami.
“Kita tidak mahu memikirkan perkara itu kerana kita mahukan kestabilan hingga akhir penggal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sini, hari ini.
Ahmad berkata pendirian itu selari dengan ketetapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diulangi dalam taklimat tertutup kepada ahli-ahli Parlimen parti itu baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berharap rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya PKR, memahami kepentingan peranan UMNO dalam mengekalkan kestabilan pentadbiran demi menggerakkan agenda untuk manfaat rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan politik perkauman, sambil menyifatkannya sebagai naratif tidak tepat yang boleh mengelirukan persepsi rakyat.
“BN bukan parti perkauman kerana ia dianggotai UMNO, MCA, MIC serta disokong parti pelbagai kaum melalui ‘Friends of BN’.
“Naratif yang dilemparkan itu tidak tepat dan saya percaya rakyat tidak akan terpengaruh apabila mengetahui kenyataan sebenar,” katanya.










