KUANTAN: Dakwaan rompakan di sebuah pusat beli-belah di Genting Highlands, Bentong, hari ini disahkan berlaku oleh Polis Pahang.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada tengah hari tadi.
Menurut beliau, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti butiran sebenar kejadian.
“Kita masih sedang kumpulkan fakta kes, sebarang perkembangan lanjut akan kita kongsikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, media sosial kecoh selepas beberapa video dan gambar tular memaparkan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan di sebuah premis dalam pusat beli-belah berkenaan.
Rakaman yang tersebar turut menarik perhatian orang ramai dengan beberapa pengguna media sosial mendakwa berlaku kawalan keselamatan ketat di kawasan peranginan itu susulan kejadian.
Perkembangan mengenai jumlah kerugian, identiti suspek serta sama ada tangkapan sudah dibuat bagaimanapun masih belum diperincikan pihak polis.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan polis selesai.










